Kesepakatan ini biasanya berlaku antara dua syarikat yang beroperasi dalam industri yang sama, demi mengejar pertumbuhan, kecekapan, dan kelebihan daya saing. Ia boleh bersifat sukarela atau tidak sukarela.
Kadangkala, "M&A" boleh merujuk pada jabatan kewangan korporat yang menyediakan nasihat kewangan dan undang-undang, atau menyusun, mengurus, dan memudahkan kesepakatan M&A. Dalam beberapa kes, badan kawal selia seperti Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) juga mesti meluluskan suatu M&A agar ia dapat dilaksanakan. Oleh itu, proses ini boleh melibatkan pelbagai pelaku: syarikat, bank pelaburan, peguam, firma perakaunan, agensi kerajaan, dan pemilik saham.
Apakah perbezaan antara penggabungan dan pengambilalihan?
Istilah "penggabungan" dan "pengambilalihan" mempunyai makna yang berbeza. Setiap kesepakatan adalah unik dan boleh merangkumi elemen dari kedua-duanya. Para pemegang saham mesti mengundi untuk meluluskan kesepakatan tersebut.
Mergers adalah apabila dua syarikat bergabung untuk menjadi satu syarikat. Ini biasanya berlaku antara dua syarikat yang saiz dan kedudukannya serupa, dan kedua-dua syarikat tersebut berakhir dengan kawalan bersama ke atas konglomerat yang terhasil.
Pengambilalihan ialah apabila sebuah syarikat yang lebih besar membeli atau mengambil alih syarikat yang lebih kecil melalui pegangan majoriti. Pembeli menyerap syarikat sasaran atau sebahagian asetnya.
Aktiviti M&A dalam kitaran hayat syarikat
M&A boleh berlaku pada pelbagai peringkat dalam kitaran hayat syarikat. Mari kita terokai peringkat-peringkat ini dan bagaimana ia mempengaruhi aktiviti M&A.
Pembangunan adalah apabila sebuah syarikat masih baru dan menjana hasil yang sedikit atau tiada langsung, seperti sebuah startup. Syarikat dalam fasa ini selalunya diambil alih kerana-kerana idea mereka yang inovatif. Pembelian ini lazimnya murah dan menawarkan potensi kenaikan harga.
Pertumbuhan adalah apabila syarikat berkembang dan menjual lebih banyak. Syarikat yang lebih besar akan memperoleh syarikat-syarikat seperti ini kerana potensi pertumbuhannya. M&A dalam kes seperti ini juga adakalanya dilakukan sebagai satu langkah defensif, menyerap syarikat pesaing atau menghalang pesaing lain daripada memperoleh syarikat sasaran terlebih dahulu.
Kematangan adalah apabila perniagaan menjadi sangat menguntungkan, dan persaingan meningkat. Oleh kerana syarikat yang sudah matang mempunyai banyak rizab tunai, mereka cenderung menjadi pihak yang mengambil alih syarikat lain. Ini cara yang lebih murah bagi mereka untuk mendapatkan akses ke produk atau pasaran baru berbanding membuat kajian dan membinanya dari awal.
Kemerosotan ialah fasa bilamana sesebuah syarikat kehilangan penguasaan pasaran mereka kepada pesaing yang lebih inovatif. Syarikat-syarikat yang sedang berada dalam fasa ini sedang kesukaran dan perlu dipulihkan semula. Mereka terdedah kepada pengambilalihan atau dibeli dengan harga murah oleh syarikat yang menganggap mereka sebagai terkurang nilai (undervalued).
Mengapa syarikat melakukan M&A
Syarikat yang bersaing dalam industri yang sama mendapatkan kelebihan dengan menawarkan produk yang inovatif dan mengurangkan kos. Adalah munasabah bagi sesebuah syarikat untuk mengambil alih pesaingnya serta idea-idea inovatif mereka, atau bekerjasama dengan pesaing dan menggabungkan aktiviti perniagaan mereka. Dengan cara itu, mereka dapat mengakses segmen pasaran yang baru, pelanggan baru, barisan produk baru, dan harta intelek baru, sambil menghapuskan ancaman persaingan. Jika pelaburan itu berbaloi, M&A membolehkan syarikat mengurangkan kos, menjadi lebih cekap, dan meningkatkan pertumbuhan dengan memperoleh kelebihan daya saing.
Menggabungkan dua perniagaan boleh membawa kepada manfaat operasi. Syarikat-syarikat itu mampu beroperasi dengan lebih cekap dan menjimatkan wang dengan menghapuskan kos pengeluaran dan tenaga kerja yang berganda. Mereka juga dapat menggabungkan ciri-ciri terbaik yang ada pada kedua-dua syarikat untuk menawarkan produk yang lebih menarik. Sebagai contoh, pembekal kandungan TV dan penyedia internet boleh menawarkan kedua-duanya sebagai satu pakej.
M&A dapat membantu syarikat berkembang dengan lebih pantas dengan segera menyerap fasiliti yang sudah beroperasi dan menggandakan outputnya. Mereka juga boleh mengurangkan kos dengan menjadi lebih mandiri. Apabila sebuah syarikat membeli syarikat pengedar, sebagai contoh, ia boleh menguruskan pengedarannya sendiri dan tidak perlu membayar perniagaan lain untuk itu.
Selain itu, apabila sebuah syarikat membeli atau mengasimilasikan syarikat lain, ia menyingkirkan pesaing. Perniagaan sasaran tidak lagi menjadi sumber persaingan, tetapi menjadi sumber nilai.
Apakah jenis-jenis penggabungan dan pengambilalihan yang ada?
Penggabungan horizontal
Dua pesaing langsung dalam industri yang sama bergabung untuk mewujudkan sebuah syarikat yang lebih besar dan lebih berkuasa. Contohnya, dua syarikat penerbangan.
Penggabungan vertikal
Dua syarikat yang beroperasi pada strata yang berbeza dalam rantaian bekalan yang sama, seperti pembekal dan pengedar, bergabung.
Peluasan pasaran
Sebuah syarikat mengambilalih perniagaan serupa yang beroperasi di lokasi geografi yang berbeza, memperoleh akses ke pasaran yang lebih luas.
Peluasan produk
Dua syarikat yang menjual produk berbeza kepada kelompok pengguna yang sama bergabung.
Penggabungan atau pengambilalihan terbalik
Sebuah syarikat swasta mengambilalih sebuah syarikat cangkerang yang didagangkan secara awam tanpa operasi. Syarikat swasta itu kemudian digabung ke dalam syarikat awam, bukannya sebaliknya. Ini adalah cara yang lebih pantas dan lebih murah bagi syarikat swasta untuk menjadi awam, dengan memintas tawaran awam permulaan (IPO).
Penggabungan konglomerat
Dua syarikat yang beroperasi dalam industri yang sama sekali tidak berkaitan bergabung untuk membuatkan lebihan modal mereka berkerja, menyediakan kepelbagaian, mengurangkan keterdedahan kepada risiko berkaitan dengan industri tertentu, dan meneroka pasaran baru tanpa perlu bermula dari awal.
Pengambilalihan paksa
Pengambilalihan dicadangkan tanpa kelulusan atau persetujuan syarikat sasaran. Syarikat yang mahu mengambilalih memintas lembaga pengarah dan membuat rayuan secara langsung kepada pemegang sahamnya. Ia boleh mengemukakan tawaran tender untuk membeli sejumlah saham tertentu (cukup untuk memberikannya kawalan dalam syarikat) pada harga tertentu (harga yang premium, untuk membuatkan pemegang saham menjual saham mereka) menjelang tarikh tertentu. Ia juga boleh mencuba undi proksi, iaitu apabila sebuah syarikat pengambilalih cuba meyakinkan pemegang saham syarikat sasaran bahawa mereka harus mengundi untuk menyingkirkan lembaga pengarahnya, memudahkan syarikat pengambilalih mengambil alih.
Cabaran M&A
Kadangkala, dua budaya syarikat yang bergabung tidak selari dan sangat berbeza sehingga geseran itu menghalang pengurusan dan melemahkan semangat, menyebabkan kadar turnover pekerja yang lebih tinggi, pemberhentian, dan penurunan produktiviti jangka panjang.
Syarikat sasaran boleh menolak tawaran atau bidaan. Ini boleh mendorong syarikat pengambilalih untuk melancarkan pengambilalihan secara paksa.
Penggabungan kedua-dua syarikat boleh melibatkan kos yang besar. Adakalanya sangat sukar untuk menggabungkan perniagaan dan sistem, pasukan, teknologi, dan barisan pengeluaran mereka. Ini boleh mengakibatkan matlamat kewangan tidak tercapai dan harga saham merosot, dengan M&A mendatangkan lebih banyak kos dan kurang penjimatan daripada yang dijangkakan.
Aktiviti M&A dikawal dengan ketat dan dipantau oleh agensi kerajaan seperti FTC dan DOJ untuk memastikan ia tidak membawa kepada monopoli. Mereka mahu memastikan bahawa persaingan masih wujud dalam industri tertentu untuk mengekalkan persekitaran kapitalis yang sihat dan adil. Mencegah syarikat daripada mengawal seluruh industri memastikan persaingan dan memaksa perniagaan supaya mengekalkan harga yang adil untuk pengguna. Itulah sebabnya mengapa M&A yang sangat besar memerlukan kelulusan pengawalseliaan.
Apa erti M&A bagi para pelabur dan trader
Sebagai seorang trader, maklumat yang berterusan mengenai M&A yang mungkin atau sedang berlangsung boleh memberi anda amaran awal tentang aktiviti korporat berskala besar yang akan menyebabkan kemeruapan dan menjejaskan industri atau pasaran yang lebih luas.
Apabila sebuah syarikat membuat tawaran untuk membeli syarikat lain, ia menawarkan untuk membeli saham syarikat itu pada harga yang lebih tinggi daripada harga dagangannya sekarang. Oleh itu, harga saham syarikat sasaran akan naik, atau bahkan melonjak. Masa yang tepat boleh menjadikannya lumayan.
Namun, perlu diingat bahawa tawaran tidak menjamin suatu M&A itu akan berjaya. Syarikat sasaran atau pengawal selia boleh menolak tawaran tersebut. Jika anda percaya ini akan menjadi kenyataan, anda boleh memilih untuk "short" saham yang sedang meningkat itu, dengan harapan bahawa optimisme ini akan terbukti salah dan harga saham akan berbalik. Pemegang saham bagi syarikat yang mengambilalih juga boleh merasakan seolah-olah mereka membayar terlalu banyak premium untuk mengambil alih syarikat lain, dan menjual saham tersebut.
Jika anda sudah pun memiliki saham tersebut apabila penggabungan dan pengambilalihan (M&A) diumumkan, anda boleh mengundi untuk meluluskan atau menolak, atau menjualnya apabila harga saham telah meningkat.