Indikator ekonomi biasanya diumumkan secara berkala dan berjadual oleh pihak kerajaan, organisasi bukan berasaskan keuntungan dan universiti. Di AS, kebanyakan pedagang menunggu laporan oleh Biro Statistik Buruh AS, yang menerbitkan data mengenai kadar pekerjaan dan inflasi, Biro Banci AS, yang melaporkan data jualan dan perumahan, Rizab Persekutuan, yang menetapkan kadar faedah, dan Lembaga Persidangan, yang menyelidik dan menghasilkan Indeks Keyakinan Pengguna.
Jenis indikator ekonomi
Indikator ekonomi boleh dikategorikan kepada tiga jenis utama bergantung kepada masanya berbanding dengan kitaran ekonomi.

Indikator utama meramalkan perubahan dan trend masa depan dalam ekonomi. Ini termasuk keluk hasil, harga saham, dan pembentukan perniagaan bersih. Ia dipanggil "leading" kerana angka-angkanya berubah sebelum ekonomi berubah, yang menjadikannya berguna dalam membuat ramalan.
Indikator serentak adalah seperti gambaran masa nyata bagi kesihatan ekonomi. Ia memberi tumpuan kepada kawasan atau rantau tertentu. Ini termasuklah KDNK dan tahap pekerjaan. Ia yang paling kerap diikuti oleh pembuat dasar kerana ia menggambarkan situasi semasa ekonomi.
Indikator ketinggalan, seperti namanya, memberikan data selepas peristiwa ekonomi berlaku. Ini termasuk Indeks Harga Pengguna (CPI) dan kadar pengangguran. Walaupun ia memberikan gambaran tentang keadaan ekonomi, ia kurang berguna untuk membangunkan strategi atau mencari peluang perdagangan kerana datanya mungkin sudah lapuk ketika diumumkan.
Ciri-ciri indikator ekonomi
Indikator ekonomi boleh berbentuk procyclical, countercyclical, atau acyclical. Perkataan-perkataan yang rumit, tetapi maksudnya mudah difahami.
Indikator procyclical bergerak ke arah yang sama dengan ekonomi. Sebagai contoh, KDNK sesebuah negara akan mengikuti prestasi ekonominya, meningkat jika ia berkembang maju dan menurun jika ia berada dalam kemelesetan.
Indikator countercyclical bergerak dalam arah yang bertentangan dengan prestasi ekonomi. Sebagai contoh, kadar pengangguran cenderung menjadi lebih rendah jika ekonomi berada dalam keadaan baik.
Indikator acyclical tidak berkaitan dengan keadaan ekonomi. Sebagai contoh, penggunaan tenaga dan bencana alam adalah bebas daripada kitaran perniagaan. Walau bagaimanapun, iklim boleh menjejaskan pasaran dan ekonomi dalam jangka masa panjang melalui pengeluaran tanaman.
Apakah itu indikator ekonomi utama?
Indikator ekonomi menyediakan data khusus mengenai bidang ekonomi yang disasarkan. Para pelabur boleh memilih untuk memberi tumpuan kepada indikator tertentu berdasarkan strategi pelaburan mereka. Berikut adalah beberapa contoh indikator ekonomi:
1. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merupakan indikator ketinggalan yang mewakili pengeluaran dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dalam tempoh tertentu. Ia dianggap sebagai indikator terbaik untuk mengukur saiz dan kesihatan ekonomi.
2. Kadar faedah ialah peratusan yang dibayar kepada pemilik akaun simpanan atau dikenakan caj ke atas mereka yang membuat pinjaman. Ia dikawal selia oleh bank pusat sesebuah negara, yang meningkatkannya untuk membendung inflasi dan menurunkannya untuk merangsang pertumbuhan. Jika kadar terlalu tinggi untuk tempoh yang terlalu lama, ia boleh mencetuskan kemelesetan, iaitu penurunan ketara dalam aktiviti ekonomi yang berlanjutan selama beberapa bulan.
3. Kekuatan mata wang ialah indikator ketinggalan yang popular dan memberikan anda gambaran tentang kekuatan ekonomi sesebuah negara dengan membandingkan matawang negaranya dengan negara-negara lain. Jika matawang sesebuah negara kukuh, ia dapat menarik lebih banyak pelaburan yang meningkatkan ekonomi. Ia juga mempunyai lebih banyak kuasa membeli, membolehkannya mengimport dengan lebih murah dan menjual ke luar negara pada harga yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, jika matawang lemah, kos untuk melawat sesebuah negara itu menjadi lebih murah dan ini boleh menarik kedatangan pelancong.
4. Pasaran saham ialah tempat saham syarikat yang tersenarai awam dibeli dan dijual. Semua ini banyak bergantung pada spekulasi dan tidak semestinya menggambarkan nilai sebenar saham, kerana sesetengahnya mungkin terlebih beli atau terlebih jual, dan gelembung mungkin terbentuk. Saham biasanya naik apabila laporan pendapatan yang positif diumumkan. Ini boleh menunjukkan bahawa syarikat-syarikat menunjukkan prestasi yang baik dan ekonomi sedang berkembang maju.
5. Data pengangguran dan gaji ialah indikator ketinggalan yang memberi tumpuan kepada jumlah pekerjaan yang hilang dan diwujudkan pada bulan lepas serta kadar bayaran yang diterima oleh pekerja. Pengangguran yang rendah dan gaji yang tinggi adalah tanda-tanda pertumbuhan ekonomi. Data ini mungkin sudah lapuk pada masa ia diumumkan.
6. Indeks Harga Pengguna (CPI) ialah satu lagi indikator ketinggalan dan salah satu yang paling kerap diperhatikan untuk mengesan inflasi. Ia mengukur perubahan dalam kos barangan dan perkhidmatan dari bulan ke bulan, dan seterusnya kos sara hidup, setelah perubahan itu berlaku. Apabila inflasi terlalu tinggi, ia boleh menjejaskan prestasi ekonomi kerana orang ramai memerlukan lebih banyak wang untuk mendapatkan jumlah barangan yang sama. Simpanan orang ramai semakin berkurangan, dan kuasa beli mereka turut merosot.
7. Indeks Harga Pengeluar (PPI) ialah indikator serentak dan utama bagi inflasi kerana ia menunjukkan perubahan dalam kos pengeluaran barangan (seperti perlombongan, pembuatan, pertanian, perhutanan dan perikanan) sebelum perubahan harga muncul di kedai-kedai. Ia juga merupakan laporan pertama yang diumumkan pada bulan ini, jadi ia boleh memberikan anda gambaran tentang perkara yang bakal berlaku. Jika CPI mengukur harga untuk pengguna, PPI pula mengukur harga untuk industri.
8. Pasaran hartanah ialah indikator utama kerana ia menunjukkan berapa banyak permohonan projek perumahan baharu yang telah dikemukakan sebelum pembinaan sebenar dimulakan, sekurang-kurangnya enam bulan kemudian. Permulaan pembinaan rumah menunjukkan jumlah projek yang secara rasmi telah memulakan pembinaan. Ini menunjukkan permintaan terhadap rumah baharu dan perubahan dalam harga hartanah. Pasaran perumahan yang lemah boleh menjejaskan bidang ekonomi lain melalui kehilangan pekerjaan dalam pembinaan, pengurangan kekayaan pemilik rumah, dan kemungkinan mereka gagas melunaskan pinjaman.
Kelebihan menggunakan indikator ekonomi untuk berdagang
Indikator ekonomi boleh memenuhi pelbagai tujuan bergantung kepada pihak yang menelitinya.

Kerajaan dan bank pusat akan menggunakannya untuk menghuraikan dasar politik dan fiskal, seperti menaikkan kadar faedah untuk menenangkan ekonomi dan menurunkan inflasi. Kadangkala, mereka tidak bersetuju dengan hala tuju yang diambil.